MNRB MERAIKAN RAMADHAN BERSAMA KAKITANGAN DAN ANAK-ANAK YATIM

3 Aug 2012

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2012 – Sempena meraikan bulan Ramadhan Al-Mubarak, Kumpulan MNRB telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Kakitangan dan Keluarga MNRB yang diadakan di ibu pejabat MNRB Holdings Berhad, Bangunan Malaysian Re, Kuala Lumpur. Sejajar dengan itu, Kumpulan MNRB sekali lagi telah memainkan peranan dan komitmen mereka kepada masyarakat dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan bersama penghuni Pusat Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah (Baitu Saidati Khadijah) yang menempatkan golongan asnaf yang terdiri daripada anak-anak yatim dan keluarga miskin.

Pada majlis tersebut, Kumpulan MNRB telah menyumbangkan wang tunai berjumlah RM10,000 untuk keperluan rumah tersebut yang mana ianya merangkumi wang tunai serta beberapa buah perabot dan barangan elektrik. Selain itu, Kumpulan MNRB juga turut memberi duit raya kepada semua penghuni Baitu Saidati Khadijah. Sumbangan ini  disampaikan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Encik Mohd Din Merican, kepada rumah berkenaan yang diwakili oleh Penyelianya, Puan Esah binti Abdullah  pada satu majlis ringkas di Auditorium, Bangunan Malaysian Re.

Bagi memeriahkan lagi suasana, Kumpulan MNRB turut menganjurkan ‘Mini Bazaar’ yang telah menawarkan pelbagai jenis kelengkapan hari raya seperti pakaian, aksesori, tudung dan beraneka kuih serta biskut.

Selain daripada itu, bersempena bulan yang barakah ini, Kumpulan MNRB juga turut menganjurkan  program ‘MNRB Food Drive’ (MNRB Bantuan Makanan) iaitu sebuah program bantuan makanan serta barangan keperluan asas yang akan diagihkan kepada beberapa buah rumah anak yatim dan orang-orang tua di sekitar Lembah Klang. Program ini melibatkan bersama semua warga kerja MNRB bagi mengumpul serta membeli pelbagai barangan seperti gula, tepung, milo, bawang, biskut dan sebagainya.

Seiringan dengan usaha syarikat untuk menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan MNRB sentiasa memberi perhatian kepada golongan yang kurang bernasib baik. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diadakan yang mana telah melibatkan semua warga kerja Kumpulan MNRB. Program sebegini dapat mengeratkan silaturrahim serta hubungan kekeluargaan dan kerjasama di kalangan kakitangan dan pihak pengurusan sekaligus memupuk budaya memberi kepada mereka yang kurang bernasib baik. Aktiviti-aktiviti korporat seperti ini juga dapat memberi ruang kepada Kumpulan MNRB untuk mendekatkan diri dengan masyarakat secara langsung. 

MNRB Holdings Berhad merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan. Anak-anak syarikat milik penuh MNRB adalah Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), sebuah syarikat insurans semula am, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful IKHLAS), sebuah syarikat pengendali Takaful, MNRB Retakaful Berhad (MRT) yang merupakan sebuah syarikat takaful semula am dan keluarga serta Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL), sebuah syarikat yang diperbadankan di Dubai, U.A.E. bagi mengunderait perniagaan insurans semula Malaysian Re dan juga untuk memberikan perkhidmatan kepada rakan niaga Malaysian Re di wilayah MENA. Salah sebuah anak syarikat MNRB adalah MMIP Services Sdn. Bhd. (MSSB) yang ditubuhkan untuk menguruskan pentadbiran Gemblengan Insurans Motor Malaysia atau MMIP, satu gemblengan yang diwujudkan oleh industri insurans untuk menyediakan perlindungan insurans bagi pemilik kenderaan yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan perlindungan. Di samping itu, Motordata Research Consortium Sdn. Bhd. (MRC), yang menguruskan pangkalan data untuk bahagian-bahagian motor, harga-harga dan pembaikan yang mengikut piawaian. Manakala Labuan Reinsurance (L) Ltd. (Labuan Re), sebuah syarikat insurans semula yang diperbadankan di Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan (IOFC) merupakan syarikat bersekutu Malaysian Re. MNRB tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dan pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB).