MNRB TERUS BANTU TINGKATKAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR LUAR BANDAR MENERUSI PROGRAM LESTARI CEMERLANG

27 Sep 2017

Alor Gajah, 21 September 2017 – Kumpulan MNRB hari ini melancarkan program sekolah angkat edisi ke – 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal (SMK Durian Tunggal), Alor Gajah, Melaka. Program yang dikenali sebagai Program Lestari Cemerlang MNRB ini telah  disempurnakan pelancarannya  oleh Yang Berhormat Datuk Haji Ab. Wahab bin Haji Ab. Latip, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Durian Tunggal.  Turur hadir sama, Encik Mohd Din Merican, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Tuan Haji Mohd Rashid Mohd Sidek, Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka, Encik Abdul Malek bin Harun, Pegawai Pendidikan Daerah dan Puan Paridah binti Omar, Pengetua SMK Durian Tunggal.                                                                   

Program Lestari Cemerlang MNRB telah diperkenalkan sejak tahun 2011 adalah  sebahagian daripada tanggungjawab korporat Kumpulan MNRB. Program ini bertujuan membantu meningkatkan prestasi akademik dan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang terutamanya para pelajar sekolah di luar bandar. SMK Durian Tunggal adalah merupakan sekolah keempat yang dipilih untuk tempoh dua (2) tahun bermula dari April 2017 sehingga Mac 2019. Pelbagai program akademik dan penambahbaikan prasarana sekolah telah disusun dan dilaksanakan oleh pihak sekolah bersama MNRB seperti kelas-kelas tambahan, teknik menjawab soalan dan  kem motivasi khusus untuk para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM, pengubahsuaian dan keceriaan pusat sumber serta menaja jersi untuk pasukan hoki sekolah.

Menurut Yang Berhormat Datuk Haji Ab. Wahab, sokongan dan bantuan sektor korporat dilihat penting bagi memastikan pembangunan pendidikan di negeri Melaka terutamanya bagi sekolah di luar bandar. Dalam ucapannya juga beliau menghargai usaha dan inisiatif sektor korporat seperti Kumpulan MNRB untuk membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar disamping dapat melahirkan modal insan berkualiti dan seimbang dari segi intelek yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dapat dicapai.                                                

Sementara itu, Encik Mohd Din Merican, dalam ucapannya pula berkata, “Program Lestari Cemerlang MNRB merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat yang telah dicetus dan dirangka untuk membantu sekolah-sekolah di luar bandar bagi mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang khususnya akademik. Lanjutan daripada program ini juga, MNRB turut menawarkan biasiswa di bawah “Tabung Biasiswa MNRB”  kepada lima orang pelajar terbaik SPM di sekolah ini.”

Pada majlis ini, Kumpulan MNRB turut  menyampaikan jersi kepada pasukan hoki sekolah yang menunjukkan prestasi yang membanggakan.

Pengetua SMK Durian Tunggal, Puan Paridah dalam ucapannya berkata “Kesudian MNRB menjadikan sekolah ini sebagai sekolah angkat amat besar maknanya kepada kami.  Melalui Program Lestari Cemerlang MNRB pihak sekolah telah memperolehi  berbagai sumbangan bukan sahaja dalam aspek kewangan  namun juga dalam aspek kepakaran dan motivasi”.

Bersempena pelancaran Program Lestari Cemerlang MNRB, satu aktiviti gotong-royong telah diadakan untuk menghijau serta mencantikkan taman di persekitaran sekolah.  Lebih 30 orang sukarelawan Kumpulan MNRB terlibat didalam aktiviti ini. Dalam majlis ini juga, satu upacara simbolik menanam Pokok Doa (Bucida Molineti Variegated) turut diadakan yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Ab. Wahab.

Encik Mohd Din Merican menyifatkan aktiviti gotong-royong seperti ini adalah salah satu usaha syarikat untuk mendekati dan menyumbang kembali kepada masyarakat disamping dapat mengeratkan silaturahim Kumpulan MNRB dengan pihak sekolah.

Sejak Program Lestari Cemerlang MNRB diperkenalkan, kos keseluruhan pelaksanaannya sehingga kini berjumlah lebih RM260, 000.00 dengan melibatkan empat buah sekolah angkat.

MNRB Holdings Berhad adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuhnya ialah Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), MNRB Retakaful Berhad (MRT) dan Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL). MNRB disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).